Keluar sahaja daripada pintu utama Proton City, aku melihat bas untuk ke kampus tiada. Aku dan Hazimah mengambil keputusan untuk duduk-duduk dahulu. Kebetulan di sebelahku ada beberapa orang pelajar perempuan sedang berborak-borak. Kemudian salah seorang daripada mereka bangun dan memanggil “kak”. Kebetulan aku menoleh kepadanya. Dia merenung kad matrikku dan berkata “erm, betullah”. Oh, rupa-rupanya dia memanggil diriku. Kemudian dia menyambung pertanyaan. Perbualan kami seperti berikut:
Pelajar : Akak ambil Bahasa Melayu kan?
Aku : Ha’ah, kenapa?
Pelajar : Prinsip Jus Soli tu dasar atau apa?
Aku : Akak tak pasti lah. Ambil sejarah ke?
Pelajar : Pengajian Malaysia.
Hazimah : Carilah dalam internet.
Aku : Kami pelajar Bahasa Melayu. Lama dah tinggal, jadi tak tahu.
Sedang kami bercakap, dia melihat telefon bimbitnya, mungkin membalas SMS. Kemudian dia bertanya lagi, apa lagi dasar kerajaan sebelum dan selepas merdeka.? Kami agak malas untuk menjawab kerana tidak suka akan sikapnya itu. Dia tidak memberikan salam dan bersikap sambil lewa apabila kami menjawab soalannya.
Ulasan saya:
Perlakuan pelajar tersebut amat tidak bersopan. Sebagai pelajar junior, dia perlu menghormati kami. Bukanlah saya ini terlalu inginkan penghormatan tersebut, tetapi sekurang-kurangnya pelajar itu haruslah menghulurkan salam terlebih dahulu dan mendengar pandangan kami kerana dia yang bertanyakan soalan. Selain itu, saya berpendapat, jika kita ingin bertanya, tidak mengira soalan itu ditujukan kepada sesiapa pun gunakanlah bahasa yang sopan. Pamerkanlah peribadi yang baik.