28 Januari, 2011

Ada persembahan ada kurnia

Apakah perasaan kawan-kawan apabila kawan-kawan bertanya dengan lemah lembut dan bersopan kepada seseorang, tetapi di balas dengan sikap marah-marah dan bercakap menggunakan suara yang kasar dan sinis? Apabila perkara itu terkena kepada batang hidung sendiri, saya bercakap dalam diri saya bahawa saya tidak akan datang ke kedai itu lagi. Jika kawan-kawan ingin mengetahui cerita yang sebenarnya, sila ikuti kisah di bawah ini.


Situasi:
Hari ini mak menyuruh aku ke kedai untuk membeli beberapa barang masakan dan sayuran. Aku mengambil keputusan untuk pergi ke kedai di kampung sebelah kerana jaraknya lebih dekat berbanding pekan. Sampai sahaja di kedai, aku mencari barang-barang yang diperlukan oleh emak. Setelah mencari-cari, terdapat satu barang yang aku tidak jumpa, iaitu sup bunjut. Lalu, aku pergi bertanya kepada seorang akak yang sedang menimbang barangan pembeli.
“Kak, sup bunjut ada tak?” soalku.
“Kat sana” akak itu menjawab sambil tangannya menunjuk ke arah bahagian rak belakang. Aku menoleh mengikut arah tangannya itu.
“Tak adalah kak, saya dah cari kat sana”  balasku kembali.
“Kalau tak ada benda tu dah habis lah. Tu pun nak tanya lagi ke…” omel akak itu dengan sinis.
“Tak apalah kak” kataku sambil melangkah ke arah kaunter pembayaran. Sungguh, aku sangat malu pada waktu itu kerana terdapat beberapa orang pelanggan yang sedang beratur ingin menimbang barang. Mungkin ada di antara mereka yang mendengar kata-kata akak tersebut. Pada waktu itu ingin sahaja aku meletak kembali barang-barang yang telah diambil, namun memikirkan mak memerlukannya, aku terus bergerak ke kaunter.



Ulasan saya:
Pada pendapat saya, sebagai seorang penjual atau pekerja, mereka seharusnya menggunakan bahasa yang elok dan bersopan ketika berhadapan dengan pelanggan. Pertanyaan yang diajukan pelanggan hendaklah dibalas dengan baik dan berbudi bahasa. Hal ini kerana, rezeki mereka terletak di tangan pelanggan. Jika pelanggan berasa selesa dengan layanan penjual, maka suatu hari nanti pasti pelanggan tersebut akan datang ke kedai itu lagi mungkin bersama teman-temannya. Sesungguhnya, ada persembahan ada kurnianya.

Maksud kata : Buat baik dibalas baik