18 Mac, 2011

Antara tradisional dengan moden

Situasi:
Semasa melayari internet, aku terjumpa peribahasa-peribahasa lama yang telah dimodenkan. Rasa hendak tergelak apabila membaca peribahasa-peribahasa tersebut. Di bawah ini terdapat beberapa contoh peribahasa moden.




Ulasan saya:
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk kepada peribahasa yang dicipta selepas kemerdekaan. Sebenarnya, peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya masyarakat Melayu. Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan dan membina minda. Tetapi pada masa kini, pelbagai peribahasa telah dicipta mengikut sesuka hati. Selain itu, peribahasa yang baru dicipta turut memberikan peluang kepada penerbit buku untuk melariskan buku masing-masing dengan memuatkan peribahasa moden yang janggal. Selain itu, peribahasa yang baru dicipta juga mendorong kepada kerosakan bahasa, kerana sesetengah daripadanya hanya dibuat secara serkap jarang tanpa sebarang penyeliaan oleh pihak tertentu.




17 Mac, 2011

Fonetik dan Fonologi

Situasi:
Hari ini semasa kuliah Karya Agung, Prof. Abdullah ada bertanyakan fungsi kami belajar fonetik dan fonologi. Kemungkinan beliau bertanyakan sebegitu kerana melihat cara kami bercakap yang masih tidak mahir menggunakan bahasa tinggi. Beliau meminta agar kami menyebut perkataan dengan membunyikan setiap huruf.

Ulasan saya:
Teguran yang dilakukan oleh Prof. Abdullah Hasaan adalah baik. Hal ini kerana, sebagai guru kelak, kita perlu menggunakan bahasa standard. Jika komunikasi guru kurang berkesan, pelajar tidak dapat mencapai perkara yang ingin guru sampaikan. Sebagai contoh, jikalau ada antara guru yang menyebut sesuatu perkataan tidak jelas, maka agak sukar untuk pelajar memahami pengajaran yang sedang berlangsung. Menurut Prof. Abdullah lagi, pengajaran fonetik dan fonologi adalah untuk membetulkan sebutan kita, namun masih ramai yang tidak mempraktikkannya. Justeru, pengucapan sesuatu perkataan dengan baik amat dititiberatkan untuk mendapatkan komunikasi yang berkesan.




16 Mac, 2011

Bahasa rempit?

Situasi:
Hari ini aku terbaca sebuah blog yang menceritakan perihal penggunaan bahasa rempit. Sebenarnya juga, ini baru pertama kali aku mendengar bahasa rempit. Jadi, untuk menjelaskan kekeliruanku itu, aku membaca kisah yang ditulis oleh penulis blog tersebut. Mengikut tuan punya blog itu, bahasa rempit adalah seperti adalah ejaan yang dieja berlainan daripada ejaan asal seperti ‘lew’, ‘kew’, ‘jew’, ‘niew’, ‘kitew’ dan banyak lagi.

Ulasan saya:
Dewasa kini, penggunaan bahasa sebegitu semakin merebak, terutamanya dalam kalangan remaja. Mereka berpendapat, penggunaan bahasa seperti itu menunjukkan diri mereka lebih hebat dan tidak terkongkong dengan bahasa Melayu. Sudah terang-terangan bahawa bahasa itu melambangkan identiti kita. Jika rosak bahasa yang kita gunakan, maka bangsa juga akan rosak. Janganlah kita mencemarkan bahasa Melayu kerana diri kita juga adalah orang Melayu yang penuh dengan budaya yang sopan dan berhemah. Masyarakat perlu tahu bahawa sopan dan berhemah bukan sahaja ditonjolkan oleh perbuatan, tetapi dapat ditonjolkan melalui percakapan dan penggunaan bahasa harian kita. Justeru, marilah kita bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu.




  

15 Mac, 2011

Excuse me

Situasi:
Malam tadi, sewaktu saya membaca buku sambil berbaring di atas katil, kawan kepada rakan sebilik saya datang. Mereka berbual-bual. Kemudian kawan kepada rakan sebilik saya itu bersin dan mengucapkan excuse me.

Ulasan saya:
Untuk pengetahuan kawan-kawan sekalian, rakan sebilik saya adalah Islam, kawannya juga Islam, dan saya tentulah Islam juga. Sebagai orang Islam, kita telah diajarkan untuk mengucapkan puji-pujian kepada Allah seperti Alhamdulillah, Astaghfirullah, Subhanallah dan banyak lagi. Saya berpendapat, adalah lebih manis dan mendapat berkat jika kita bersin, kemudian kita mengucapkan puji-pujian kepada Allah, iaitu Alhamdulillah. Lazimnya, orang bukan Islam yang akan mengucapkan excuse me apabila mereka bersin. Melihat situasi ini, saya mula terfikir. Begitu hebatkah ‘orang luar’ sehingga kita perlu mengikut etika dan etiket mereka.? Sebenarnya, tidak salah untuk kita mengikut, tetapi ikutlah untuk perbuatan yang baik dan mendatangkan faedah kepada diri sendiri. Pastinya ada segelintir daripada kita yang agak jarang untuk mengucapkan puji-pujian kepada Allah dalam sehari. Tambahan pula, kadang kala jika kita ditimpa musibah, kita akan mengeluarkan kata-kata makian seperti celaka, sial, bodoh dan sebagainya. Bukankah lebih elok jika kita mengeluarkan kata-kata pujian seperti Masya’Allah dan Astaghfirullah Hal Azim agar hati lebih tenang dan ikhlas.



13 Mac, 2011

Mereka-mereka

Situasi:
Pagi-pagi lagi lebih kurang pukul 8 pagi, aku membuka televisyen untuk menonton rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV 9. Pada hari ini pengacara yang bertugas ialah Aziz Desa dan Sharifah Shahira. Sebelum memulakan program, Sharifah Shahira saling berbual bertukar informasi bersama Aziz Desa. Pada masa itulah, Sharifah Shahira telah menyatakan bahawa ada pihak atasan telah menegur mengenai pemakaian tatabahasa yang salah. Dia menyatakan penggunaan ‘mereka-mereka’ adalah salah kerana ‘mereka’ sudah menunjukkan bilangan yang ramai. Sharifah Shahira turut menyentuh gandingan ‘justeru itu’ adalah salah. Penggunaan yang betul hanya ‘justeru’ sahaja.

Contoh kesalahan 1 : Kepada mereka-mereka yang berada di rumah, jangan …
Contoh kesalahan 2 : Justeru itu, kita perlu berhati-hati …

Ulasan saya:
Sebenarnya, tindakan pihak atasan tersebut yang menegur kesilapan tatabahasa pengacara semasa mengendalikan rancangan adalah bagus kerana kadang kala kita sendiri tidak menyedari kesilapan yang telah kita lakukan. Apabila Sharifah Shahira menyatakannya secara terbuka kepada penonton, secara tidak langsung ia akan membuka minda penonton. Saya merasakan adalah lebih baik jika setiap rangkaian televisyen mempunyai pakar bahasa yang mampu membetulkan penggunaan bahasa Melayu yang salah. Hal ini akan dapat mengurangkan kesalahan tatabahasa.