28 Februari, 2011

Perhatian semua!

Situasi:
“Assalamualikum. Tolong bagi perhatian. Aqmal ada tak(bukan nama sebenar)?” mataku melingas mencari gerangan orangnya. Kemudian ada seorang pelajar perempuan telah menunjukkan ke arah Aqmal. Saya melihat dia asyik berbual dengan rakan sebelahnya. Pelajar perempuan tersebut menegur. Aqmal lantas menoleh kepada saya dan mengangkat tangan. “Saya hanya nak pastikan sama ada kamu…..” pertanyaan saya terhenti apabila melihat dia kembali menyambung perbualan dengan rakannya. Saya berhenti bertanya dan memandang ke arah dirinya. Sehinggalah pelajar perempuan itu menegur semula, barulah Aqmal betul-betul menumpukan perhatian kepada saya. 


Ulasan saya:
Sesungguhnya saya amat tidak menyukai sikap Aqmal tersebut, tidak menumpukan perhatian ketika orang lain sedang bercakap dengannya. Adakah itu suatu sikap yang baik? Adakah itu contoh yang perlu ditunjukkan oleh bakal seorang guru? Adakah kita akan menunjukkan sikap yang sama apabila ada pelajar yang ingin bertanyakan soalan? Sebolehnya, elakkanlah daripada bersikap demikian.





27 Februari, 2011

Tanda baca

Situasi:
Petang tadi, aku terlihat ada lembaran kecil iklan yang diletakkan di hadapan pintu rumah. Kemudian aku terus mengambilnya dan membaca serba ringkas.  Lembaran iklan tersebut adalah seperti gambar di bawah:




Ulasan saya:
Jika kawan-kawan perasan, ada dua tanda baca yang digunakan tidak mengikut sistem tatabahasa yang betul. Selepas perkataan ilmu, tanda koma (,) telah diletakkan dan diikuti oleh perkataan seluas. Pada pendapat saya, tanda koma tidak perlu diletakkan di antara perkataan ilmu dengan seluas kerana ia merupakan satu ungkapan ayat biasa.
Bagi penggunaan tanda seru, ia dipakai sesudah ungkapan atau pernyataan yang berupa seruan atau perintah yang menggambarkan kesungguhan, ketidakpercayaan, ataupun rasa emosi yang kuat. Hal ini bermakna, kata seru ialah kata yang digunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang seperti marah, sedih, gembira, sakit, hairan, kagum, terkejut, dan sebagainya. Cara penggunaannya disesuaikan dengan intonasi pengucapan, iaitu dengan nada meninggi atau menurun.

Misalnya :    
Alangkah seramnya peristiwa itu!
Tutup pintu itu!
Merdeka!

Tanda koma (,) pula berfungsi sebagai unsur pemisah kata dan frasa yang berturutan, unsur nombor yang berturutan, pembilangan dan pengulangan, ungkapan yang diulang, beberapa ayat setara, kata hubung tidak setara atau bertentangan fakta daripada ayat-ayat induk, memisahkan baris pantun khususnya akhir baris pertama dan baris ketiga, baris-baris syair, bahagian awal ayat dengan petikan langsung, klausa komplemen yang mendahului ayat induk (dalam ayat songsang), klausa keterangan musabab, syarat, waktu, pertentangan, harapan, cara, alat, atau gaya yang mendahului ayat induk dan banyak lagi.



25 Februari, 2011

Talifon atau telefon?

Situasi:
Semasa sedang melayari internet, aku terjumpa satu gambar yang memaparkan kesalahan ejaan. Memandangkan pelbagai gambar mengenai kesalahan ejaan semakin banyak dimuat naik, maka aku merasakan isu ini semakin besar. Justeru, aku ingin berkongsi dengan rakan-rakan mengenai gambar yang aku perolehi, seperti di bawah:



Ulasan saya:
Lazimnya, kesalahan ejaan disebabkan oleh individu tersebut mengeja sesuatu perkataan itu mengikut sebutan yang diucapkan. Apabila kita melihat gambar di atas, ejaan ‘talifon’ digunakan kerana mengikut bunyi yang diujarkan oleh penutur. Ejaan yang mengikut standard bahasa Melayu yang sebenar adalah ‘telefon’. Apabila kerap kali berlakunya kesalahan ejaan yang dipaparkan secara umum, ia akan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat luar mengenai ejaan yang betul. Oleh kerana itu, lebih elok jika diatasi lebih awal agar masalah kesilapan ejaan tidak terus merebak sehingga meracun penggunaan bahasa Melayu. 


24 Februari, 2011

Kita tanya mak

Situasi:
Hari ini aku menelefon adikku yang berada di Terengganu. Dia bertanyakan sama ada aku ada kelas atau tidak. Kemudian aku mengatakan bahawa aku ada kelas, tetapi ponteng. Jawapanku itu sebenarnya hanyalah gurauan sahaja kerana sememangnya pada hari ini aku tiada kuliah. Mendengar kata-kataku itu, adikku pun menjawab, “kita tanya mak”.

adik dan saya


Ulasan saya:
Ayat “kita tanya mak” itu sebenarnya bermaksud adik saya ingin mengadu kepada emak yang saya ponteng kuliah. Sepatutnya adik saya mengatakan “kita beritahu mak”, namun kelaziman itu menyebabkan adik saya semakin biasa mengucapkan kata seperti itu. Saya telah menceritakan kisah ini kepada rakan saya. Dia mengatakan adiknya juga sering mengatakan “kita tanya mak” apabila ingin mengadu. Selain itu, saya juga pernah mendengar rakan saya menggunakan ayat tersebut untuk tujuan yang sama. Saya merasakan bahawa ia telah menjadi kelaziman dan perlu dikikis segera.

22 Februari, 2011

Gandingan bahasa

Situasi:
Kebetulan ketika aku sedang menunggu kawan untuk sama-sama ke kelas, aku ada terbaca satu maklumat yang terdapat diruangan papan informasi kolejku, iaitu Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). Perkara yang menarik perhatianku adalah berkaitan dengan gandingan perkataan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu, iaitu Team Karisma Jasa-UPSI seperti yang terdapat pada gambar di bawah ini.



Ulasan saya:
Penggunaan bahasa campuran seharusnya perlu dielakkan memandangkan bahasa Melayu masih kaya dengan kosa katanya. Penggunaan bahasa campuran atau rojak pada masa ini bukan sahaja berlaku dalam percakapan atau pertuturan, malah turut digunakan dalam penulisan. Sebagai penutur asli bahasa Melayu, sepatutnya kita perlu berbangga untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Apa yang membimbangkan ialah jika penggunaan bahasa Melayu semakin kurang, lama-kelamaan ia akan terus lenyap bersama-sama bangsa yang menuturkannya.


21 Februari, 2011

Mok...aku nak tubaik

Situasi:
Baru sebentar tadi rakan sebilik bertanyakan kepadaku sama ada pernah atau tidak mendengar sajak yang menggunakan dialek. Aku menjawab pernah, dalam satu majlis drama yang telah didendangkan oleh seorang pelajar lelaki. Kemudian dia menunjukkan satu video sajak yang dideklamasikan oleh penyajak dengan menggunakan dialek Terengganu. Apabila aku mendengar sajak tersebut, terasa ingin tergelak juga berasa kagum. Di bawah ini merupakan video deklamasi sajak tersebut.




Berikut adalah bait-bait sajak tersebut:

mok..aku nok tubaik
mok december niey ujang yg berdeghahom..
mengukir seribu mimpi hadir malam..
aku rindu pado pacat dang litoh..
aku rindu ulat beluncas dang woh getoh..
aku ingin berjeluah dengan selut yang kutor..
aku ingin main coh..
biorlah ado yang mengayap mencari saing untok berdeghak..bior aku yang perambat
bior lah yang ado mengakok mencari ubi tuok,bior aku yang timbok mok..
mok....aku nok tubaik..aku nok balaik
aku tahu mok beleber berong marah, sebab aku tok mboh skuloh..
aku nok tubaik cari diri aku..pedie aku sebenor.
aku blajo jadi kubor jenuwoh..
dok seke stabok ble aku tengok tb
saing tduh aku adalah hiv..

mok..aku serik doh..
dudok dalam ghumoh batu..pintu besi..
marila mok ambik aku wat lari.
jual la lembu kubo too..mari tebus aku ni.
wat tubik aku mok..
mok..aku nok balaik..
aku nok tubaik..
nok sujud, nok cium tangan mung mok..
aku tringin nok tumbok peng.
aku tringin nok wapooh.
aku nok sedekoh fatihoh kubor ayoh..
ambik la aku wat tubaik mok..
aku knal doh pedie aku sbenar nyo mok..
aku knal doh pedie kawang pedie lawang
mok..aku knal doh tikor sejadoh..
aku knal doh hok mano pekdoh hok mano pjadoh..
aku dak mboh hisap dadoh doh..
rikuk aku dak mboh doh..
aku gugorkan segala riduku pade kampong laman..
pade huwe.. pade baroh.. pade burong..
biorlah aku dudok dalam gok ayang..
aku dak mboh dudok dalam gok orang..
mok..kalu aku mati hadioh la katku fatihah..

Ulasan saya:
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dan  kaya dengan pelbagai dialek. Usaha yang dilakukan oleh penyajak adalah bagus kerana penyajak berkeinginan untuk mengekalkan dan mengembangkan penggunaan dialek tersebut. Mungkin terdapat segelintir masyarakat yang masih tidak mengetahui jenis-jenis dialek yang terdapat di Malaysia ini. Dialek merupakan lambang budaya masyarakat yang memperkenalkan penutur-penuturnya di mata dunia.

20 Februari, 2011

Jangan pisahkan cinto kito

Situasi:
Semasa aku mencari-cari lagu dialek Negeri Sembilan, aku terjumpa sebuah lagu ni. Tajuknya ‘Jangan Pisahkan Cinto Kito’. Jika rakan-rakan mendengar lagu di bawah ini, pastinya rakan-rakan tahu bahawa lagu ini bukanlah lagu yang asli, tetapi sudah ditukar dengan dialek Negeri sembilan. Hendak ketawa juga apabila mendengarnya.




Ulasan saya:
Berdasarkan lagu tersebut, dialek yang digunakan agak unik kerana ada sesetengah perkataan yang ditukar dengan huruf o, contohnya dia-dio, cinta-cinto, setia-setio, bunga-bungo, jua-juo dan lain-lain lagi. Daripada contoh-contoh tersebut, kebanyakan huruf a pada akhir perkataan akan ditukar menjadi huruf o, tetapi tidak semuanya. Masih ada beberapa perkataan yang tidak ditukar seperti samudera. Selain itu, ada juga perkataan lain yang hurufnya ditukar menjadi huruf o seperti dengan-dongan, tetap-totap dan banyak lagi. Sebenarnya, penggunaan dialek ini merupakan salah satu cerminan identity dan budaya masyarakat. Setiap negeri mempunyai dialek yang tersendiri. Melalui dialek juga, kita mengetahui asal negeri seseorang itu. Saya pernah juga cuba bercakap menggunakan dialek Kelantan, tetapi kawan saya yang sememangnya berasal dari Kelantan mengatakan saya bercakap seperti orang Siam. Hal itu bermakna, saya perlu belajar dengan lebih gigih lagi.


19 Februari, 2011

Rabun ayam

Situasi:
Petang tadi aku pergi ke pasar bersama beberapa orang kawanku. Hajatnya ingin membeli beberapa jenis sayuran untuk dimasak pada keesokannya. Setibanya di gerai sayuran itu, aku memilih beberapa jenis sayur seperti kobis bunga, kacang buncis, lobak merah dan cili. Semuanya aku ambil dalam kuantiti yang sedikit. Setelah membayarnya, aku menuju ke arah kawanku yang sedang memilih sayur. Katanya, rakan serumah yang menempahnya. Sayur-sayuran yang dipilih diletakkan di dalam bakul kecil. Terdapat dua orang yang menjaga gerai tersebut, iaitu seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri. Kawanku menghulur bakul tersebut kepada penjaga yang berada di hadapannya, tetapi penjaga itu sibuk menimbang sayur-sayur lain agar mudah untuk orang membelinya kemudian nanti. Kami menunggu agak lama. Kemudian, penjaga yang berada di sebelah kanan perasan akan kewujudan kami itu. Lalu dia meminta maaf kerana membuatkan kami tertunggu-tunggu.

Sekadar hiasan




Ulasan saya:
Berdasarkan situasi di atas, saya berpendapat bahawa penjaga yang mengucapkan maaf itu tahu etika berniaga dan tahu berbahasa. Ucapan maaf yang diluahkan membuatkan hati kami sejuk. Namun, sikap penjaga yang seorang lagi itu menyebabkan hati kami berasa sebal. Kami yang berada di hadapannya seolah-olah tidak wujud. Atau, mungkin dia mengalami rabun ayam sehingga tidak nampak yang kami sedang berdiri di hadapannya.

Maksud kata : Penglihatan yang kurang jelas.


18 Februari, 2011

Budi bahasa budaya kita

Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI

Situasi:
Hampir seminggu buku yang aku pinjam telah tamat tempohnya. Jadi, hari ini selepas kuliah, aku bersama Azira telah pergi ke perpustakaan untuk membayar denda. Aku berjalan hampir seiring dengan seorang pelajar perempuan yang turut sama menuju ke kaunter pembayaran. “Assalamualaikum” kata pelajar tersebut kepada puan yang menjaga kaunter. Puan tersebut menjawab salam dan mempamerkan senyumannya. Aku dapat mendengar nada dan bahasa yang digunakan oleh pelajar perempuan itu lembut dan bersopan.

Ulasan saya:
Pada pendapat saya, permulaan kata yang lembut dan sopan akan membuatkan hati dan pekerjaan yang sedang kita lakukan menjadi lebih tenang dan teratur. Penggunaan bahasa yang baik semasa berkomunikasi menjadikan urusan menjadi lebih mudah dan hati kedua-dua pihak tidak sakit. Gunakanlah bahasa yang bersopan walau dengan sesiapa sahaja kita berkomuniksai. Lebih-lebih lagi jika kita berurusan dengan individu yang lebih tua, penggunaan bahasa yang baik amat digalakkan. Rasanya, tidak terlalu sukar untuk kita menggunakan bahasa dan nada yang baik memandangkan kita orang Melayu yang kaya dengan budi bahasa. Bukankah budi bahasa budaya kita? Namun, semuanya itu semakin berubah mengikut arus perkembangan zaman.

16 Februari, 2011

Bagai kaca terhempas ke batu

Pernahkah anda mendengar peribahasa bagai kaca terhempas ke batu? Begitulah perasaan saya apabila saya menyaksikan adegan di mana ada seorang remaja yang berkelakuan kasar dengan seorang warga emas. Kisah ini sudah agak lama terjadi, di bandar tempat saya menetap. Saya timbulkan cerita ini hanya untuk berkongsi dengan rakan-rakan pembaca.


Situasi:
Pada hari itu aku ingin mencari beg galas. Aku telah memasuki beberapa kedai yang dibina secara berderet-deret di tepi jalan besar. Sewaktu berjalan itulah, aku terdengar suara seorang remaja seperti marah-marah. Aku tercari-cari suara itu kerana aku ingin tahu apa yang telah terjadi. Aku melihat ada seorang tua sedang menunduk-nundukkan kepala seperti memohon maaf kepada remaja tersebut. Aku pergi dengan lebih dekat lagi. Berpura-pura ingin melalui jalan itu. Kemudian aku terdengar remaja itu berkata “Kalau nak jalan tu buatlah cara nak jalan. Lembab, terhegeh-hegeh.”



Ulasan saya:

Mungkin perkara yang saya ceritakan itu adalah seperti kisah-kisah yang terdapat dalam televisyen. Namun, itulah hakikatnya yang terjadi dalam dunia realiti kini. Penggunaan bahasa yang ‘tidak terurus’ semakin digemari oleh remaja. Jika bahasa seperti itu digunakan dalam kalangan rakan-rakan sahaja, mungkin boleh kita katakan bahawa perkara itu tidaklah keterlaluan. Namun, jika bahasa seperti itu digunakan terhadap warga tua, ia adalah keterlaluan. Bukankah kita sebagai orang-orang muda perlu menghormati orang yang lebih berusia daripada kita? Untuk menghormati seseorang itu bukan hanya berdasarkan perlakuan dan tindakan, tetapi juga melalui penggunaan bahasanya.
warga emas

Maksud kata : Sangat sedih atau kecewa.

14 Februari, 2011

Telinga lintah

Sejak adanya blog ini, saya menjadi seorang yang lebih peka terhadap penggunaan bahasa dalam masyarakat yang berada di sekeliling saya. Saya menjadi seperti telinga lintah. Disebabkan hal tersebut, di sini saya ingin berkongsi sebuah cerita.

Situasi:
Seperti biasa, aku akan menaiki bas untuk pergi ke kuliah. Namun, pada hari ini ada suatu perkara yang berjaya menarik perhatianku. Kejadian itu berlaku sewaktu aku ingin keluar daripada perut bas yang aku naiki. Sudah menjadi kelazimanku, dan mungkin juga warga UPSI yang lain untuk mengucapkan terima kasih kepada pemandu apabila turun daripada bas. Tetapi pada hari ini, ketika kakiku sudah berada di tangga bas yang hujung, aku terdengar pelajar di belakang saya mengucapkan terima kasih dalam bahasa Inggeris, iaitu thanks.


Saya berpendapat bahawa ucapan yang dikeluarkan oleh pelajar tersebut kurang manis memandangkan pemandu bas tersebut adalah orang Melayu dan umurnya lebih berusia berbanding pelajar tersebut. Serasanya, ucapan dalam bahasa Melayu adalah lebih manis untuk diucapkan kerana pengucap adalah orang Melayu dan pendengarnya juga Melayu.  
Ulasan saya:
 

Maksud kata : Tajam pendengaran




13 Februari, 2011

Batu penghalang

Pernahkah rakan-rakan membaca dialog-dialog kartun sama ada yang terdapat dalam komik, majalah mahupun akhbar? Semasa membaca, apakah yang terlintas difikiran rakan-rakan? Adakah rakan-rakan pernah terfikir mengenai penggunaan bahasanya? Cuba rakan-rakan baca diolag kartun yang terdapat dalam gambar di bawah ini.
Contoh

Situasi:
Semasa aku sedang mencari gambar-gambar yang diperlukan oleh adikku, aku terjumpa Dialog Kota Raya tersebut. Lalu, aku ingin sama-sama berkongsi bersama teman-teman semua. 


Ulasan:
Apabila kita membaca dialog itu, kita akan merasakan bahawa dialognya begitu dekat dengan kehidupan kita. Hal ini kerana, dialog yang digunakan adalah sama seperti dalam percakapan seharian kita. Sebenarnya, untuk menulis kita perlu menggunakan bahasa persuratan yang betul dan mengikut ejaan yang sebenar, contohnya ejaan ‘nengok’, ‘lapor’ dan ‘cecara’ perlu ditulis dengan betul. Begitu juga dalam penulisan kartun. Kartun yang lucu atau lawak bukanlah diukur melalui ejaannya, tetapi melalui jalan cerita yang cuba disampaikan oleh penulis. Bukan susah untuk berubah kerana kita telah mempelajari bahasa Melayu sejak kecil lagi. Tiada yang menjadi batu penghalang melainkan diri kita sendiri.

Maksud kata :  Halangan


11 Februari, 2011

Ambil ibarat

Orang kata kasih ibu sampai ke syurga, kasih ibu sepanjang jalan, kasih ibu tidak bertepi dan banyak lagi yang orang kata mengenai kasih ibu. Semasa ibu bapa kita sihat, bagaimanakah caranya kita melayan mereka.? Bagaimanakah cara kita berbicara dengannya.? Dan apabila mereka sakit, bagaimana pula layanan yang kita hadiahkan? Apakah bentuk wajah yang kita pamerkan? Kawan-kawan boleh lihat video di bawah ini. Tidak mustahil pada masa kecanggihan teknologi ini anak-anak semakin kasar terhadap ibu bapa.


Situasi:
Aku sempat menonton sebuah drama yang telah di ulang tayang semula. Oleh kerana masa tidak mencukupi, aku berhasrat untuk melihatnya melalui Youtube. Dalam Youtube tersebut, terdapat beberapa buah cerita Melayu. Aku melihatnya ala kadar sahaja. Namun, ada satu cerita perihal seorang anak yang menderhaka kepada ibunya yang sakit.



sekadar contoh



Ulasan saya:
Kebanyakan cerita yang dipaparkan di televisyen ada menyelitkan tentang sikap buruk anak-anak terhadap ibu bapa seperti cerekarama yang bertajuk Biarkan Aku Menangis dan Suara Saleha. Justeru, kita perlu ambil ibarat daripada kisah-kisah yang ditayangkan di kaca TV. Elakkanlah daripada menggunakan bahasa yang kasar kerana tindakan tersebut menonjolkan perbuatan yang tidak baik dan kurang ajar. Jika ada ibu bapa yang melakukan kesalahan sekalipun, tegurlah mereka dengan sebaik-baik cara, bukan melalui tengkingan dan herdikan. Ingatlah bahawa mereka yang menjaga dan membesarkan kita daripada kandungan sehingga sekarang.

Maksud kata : Menjadikan sesuatu sebagai teladan 

09 Februari, 2011

Siapa makan cili, dia terasa pedas

Situasi:
Pada hari ini, aku mengajak dua orang rakanku untuk makan bersama-sama kerana aku ingin memasak. Menu pada hari tersebut ialah sardin, sup kentang dan telur dadar. Sebenarnya, pelajar di larang memasak makanan di rumah, kecuali masakan yang tidak menggunakan minyak seperti memasak nasi. Tetapi aku agak degil kerana sudah bosan kesan daripada masakan luar yang setiap hari menyediakan menu yang sama dan agak mahal. Aku memasak menggunakan periuk nasi sahaja. Dengan menggunakan periuk nasi, agak sukar untukku menyediakan telur dadar yang cantik seperti gambar di bawah ini.  Sebaliknya, telur gorengku itu hancur.
                               Sepatutnya...

Sebaliknya...
Selesai menggoreng telur, aku mula memasak sardin. Sambil-sambil itu kami berbual mesra. Antara dialog yang kami bualkan adalah seperti berikut:
Rakan A         : Masak sedap-sedap sikit.
Hafizah          : Masakan aku memang dah sedia sedap.
Rakan B         : Tu lah… Tak hancur pun kan.

Ulasan saya:
Sebenarnya, ayat yang diujarkan oleh rakan B adalah ayat sindiran. Ayat sindiran digunakan untuk menyindir seseorang dengan tidak disebutkan secara tepat, hanya dikias-kiaskan dengan perkara yang lain. Ayat sindiran agak sama dengan konsep peribahasa siapa makan cili, dia terasa pedas.

Maksud kata: Yang merasa tersindir, dialah yang berbuat pekerjaan yang disindirkan itu.

08 Februari, 2011

Air besar sampan tak hanyut

Situasi:
Sedang kami menunggu pensyarah masuk ke kelas, rakan di sebelahku, K (bukan nama sebenar) meminta ‘bam’, iaitu sejenis ubat sapu yang berangin. Dia mengatakan bahawa perutnya sakit. Aku yang memang sentiasa membawa ubat sapu tersebut mengeluarkannya dan menghulurkan kepada K. Selepas dia menggunakannya, aku mengambil kembali ubat sapu itu lantas memasukkannya ke dalam beg. Namun, K tiba-tiba mengatakan “aku belum siap lagi lah”. Tanpa merasakan apa-apa yang pelik, aku mengeluarkan ‘bam’ itu semula dan memberinya kepada K. Secara tiba-tiba aku terdengar rakan yang duduk di barisan hadapan kami, iaitu S (bukan nama sebenar) tertawa. Dia mengulang kembali percakapan K itu. kemudian S mengatakan sepatutnya rakan saya itu mengatakan “aku belum habis guna lagi”.

Bam 


Ulasan saya:
Pada pendapat saya, sebagai manusia biasa, kadangkala kita turut melakukan kesilapan. Begitu juga dalam berbahasa. Ada kalanya pendengar tidak memahami perkara yang ingin disampaikan oleh penutur walaupun menggunakan bahasa Melayu, seperti kata pepatah air besar sampan tak hanyut. Contohnya adalah seperti K. Ayat yang diucapkan oleh K seolah-olah tergantung kerana boleh menimbulkan pertanyaan, iaitu ‘siap apa?’. Di sini juga saya ingin menyatakan bahawa penggunaan kata ‘siap’ dengan ‘habis’ boleh digunakan dalam ayat di atas kerana kedua-duanya membawa maksud yang sama, iaitu selesai.

Maksud kata: Maksud yang tidak tercapai.

07 Februari, 2011

Ada tangga hendak memanjat tiang

Situasi:
Semasa aku melayari internet untuk mencari gambar  sebagai bahan tambahan dalam tugasan, aku telah menjumpai gambar di bawah ini. Cuba lihat ejaan yang digunakan.
Gambar 1



Ulasan saya:
Tanpa kita sedari, semakin hari semakin banyak kesalahan bahasa yang kita lakukan sedangkan kita semua telah mengetahui dan mempelajari penggunaan bahasa Melayu yang betul. Inilah yang dikatakan oleh orang tua-tua, ada tangga hendak memanjat tiang. Ramai ahli bahasa yang menulis buku mengenai aturan berbahasa, namun perkara tersebut ditolak ke tepi. Dalam gambar di atas, ejaan yang tepat adalah stesen. Pengaruh bahasa Inggeris begitu kuat sehinggakan sebutan dan ejaan daripada bahasa Inggeris ‘diMelayukan’ menjadi stesyen. Pada pendapat saya, kesalahan bahasa seperti ini sepatutnya tidak wajar. Terdapat pelbagai buku yang boleh dirujuk oleh masyarakat jika tidak yakin terhadap ejaan perkataan. Janganlah kita bersikap ‘semberono’ sahaja kerana jika bukan kita yang sayangi bahasa, hendak diharapkan kepada siapa lagi?
Antara contoh bahan rujukan


Maksud kata : Berbuat sesuatu dengan tidak menurut aturan.