28 Januari, 2011

Ada persembahan ada kurnia

Apakah perasaan kawan-kawan apabila kawan-kawan bertanya dengan lemah lembut dan bersopan kepada seseorang, tetapi di balas dengan sikap marah-marah dan bercakap menggunakan suara yang kasar dan sinis? Apabila perkara itu terkena kepada batang hidung sendiri, saya bercakap dalam diri saya bahawa saya tidak akan datang ke kedai itu lagi. Jika kawan-kawan ingin mengetahui cerita yang sebenarnya, sila ikuti kisah di bawah ini.


Situasi:
Hari ini mak menyuruh aku ke kedai untuk membeli beberapa barang masakan dan sayuran. Aku mengambil keputusan untuk pergi ke kedai di kampung sebelah kerana jaraknya lebih dekat berbanding pekan. Sampai sahaja di kedai, aku mencari barang-barang yang diperlukan oleh emak. Setelah mencari-cari, terdapat satu barang yang aku tidak jumpa, iaitu sup bunjut. Lalu, aku pergi bertanya kepada seorang akak yang sedang menimbang barangan pembeli.
“Kak, sup bunjut ada tak?” soalku.
“Kat sana” akak itu menjawab sambil tangannya menunjuk ke arah bahagian rak belakang. Aku menoleh mengikut arah tangannya itu.
“Tak adalah kak, saya dah cari kat sana”  balasku kembali.
“Kalau tak ada benda tu dah habis lah. Tu pun nak tanya lagi ke…” omel akak itu dengan sinis.
“Tak apalah kak” kataku sambil melangkah ke arah kaunter pembayaran. Sungguh, aku sangat malu pada waktu itu kerana terdapat beberapa orang pelanggan yang sedang beratur ingin menimbang barang. Mungkin ada di antara mereka yang mendengar kata-kata akak tersebut. Pada waktu itu ingin sahaja aku meletak kembali barang-barang yang telah diambil, namun memikirkan mak memerlukannya, aku terus bergerak ke kaunter.



Ulasan saya:
Pada pendapat saya, sebagai seorang penjual atau pekerja, mereka seharusnya menggunakan bahasa yang elok dan bersopan ketika berhadapan dengan pelanggan. Pertanyaan yang diajukan pelanggan hendaklah dibalas dengan baik dan berbudi bahasa. Hal ini kerana, rezeki mereka terletak di tangan pelanggan. Jika pelanggan berasa selesa dengan layanan penjual, maka suatu hari nanti pasti pelanggan tersebut akan datang ke kedai itu lagi mungkin bersama teman-temannya. Sesungguhnya, ada persembahan ada kurnianya.

Maksud kata : Buat baik dibalas baik


27 Januari, 2011

Memerah otak

Situasi:
Adakah kawan-kawan dapat membezakan di antara perkataan tempah dengan kirim apabila ingin membuat pesanan untuk membeli sesuatu baran? Hari ini ada seorang rakanku datang ke rumah. Dia mengatakan bahawa kakaknya ingin pergi ke pasar malam di pekan Tanjung Malim. Tujuannya datang ke rumah adalah untuk bertanyakan sama ada aku ingin mengirim makanan atau tidak. Namun, dia bukan mengatakan ‘tempah’ tetapi ‘kirim’. Contoh ayatnya adalah seperti di bawah:
            Si A     :           Kau nak kirim makanan tak?
            Si B     :           Boleh juga.


Ulasan saya:
Menerusi perbualan tersebut, saya mula terfikir sama ada penggunaan perkataan yang tepat dalam ayat adalah ‘kirim’ atau ‘tempah’. Setelah berusaha mencari jawapannya dan memerah otak, saya berpendapat bahawa perkataan ‘tempah’ adalah lebih sesuai digunakan dalam ayat di atas. Mengapa? Hal ini kerana, perkataan ‘kirim’ bermaksud menyampaikan atau menghantar, manakala perkataan ‘tempah’ pula merujuk kepada pesanan barangan. Pendapat kawan-kawan pula bagaimana?

gambar hiasan

Maksud kata : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

26 Januari, 2011

Kerana mulut badan binasa

Situasi:
Hari ini ada perkara yang aku ingin kongsikan bersama kawan-kawan. Kisah ini terjadi sewaktu aku pulang ke kampung nenek. Kebetulan pada hari itu, ada saudara-mara lain juga yang datang berkunjung. Ceritanya bermula begini:
Pada petang itu, aku duduk bersantai-santai di kawasan ruang tamu kedua rumah nenekku. . Mak Lang (adik emak) turut duduk berhampiran denganku. Tiba-tiba, datang cucu Mak Lang (anak kepada sepupuku) terus duduk di atas ribaan neneknya dalam keadaan sedih, sedikit sahaja lagi air matanya ingin menitis. Aku agak umurnya lebih kurang lima tahun. Lantas dialog di bawah pun terjadi.
            Mak Lang      : Kenapa ni?
            Syafiq             : Ada kawan tolak.
            Mak Lang      : Dah, jangan nangis lagi.
Tiba-tiba sahaja ada seorang kanak-kanak lelaki, mungkin dalam lingkungan umur yang sama datang dan berdiri di hadapan Mak Lang. Apa yang menarik perhatianku ialah apabila kanak-kanak tersebut menghulurkan tangan kepada Syafiq.
            Mak Lang      : Nak apa ni?
            Ahmad           : Nak minta maaf.
Lalu kedua-dua kanak-kanak tersebut saling bersalaman dan Ahmad telah mencium tangan Syafiq. Adik Ahmad yang juga berada di situ turut menghulurkan tangan kepada Syafiq. Daripada raut muka yang sedih, wajah Syafiq telah berubah sedikit demi sedikit. Dia mempamerkan senyuman lantas bangun dan bermain kembali bersama kawan-kawannya itu. Saya dan Mak Lang hanya tersenyum. Namun dalam hati agak tersentuh melihat perlakuan Ahmad itu. Setelah merisik-risik, barulah saya tahu bahawa ibu Ahmad itu seorang guru tahfiz.


Ulasan saya:
Pada pendapat saya, mungkin ibunya telah mendidik anaknya dengan amalan seperti itu, meminta maaf setelah berbuat kesalahan. Pada masa sekarang, agak sukar untuk mencari kanak-kanak yang sebegitu. Jika ucapan maaf itu dilakukan dengan ikhlas dan menggunakan nada suara yang lembut, maka hati yang mendengarnya juga akan menjadi lembut dan tenang. Justeru, janganlah kita menggunakan kata-kata yang kasar kerana akibat mulut badan binasa.

Maksud kata : Mendapat kecelakaan kerana perkataan atau percakapnnya.

25 Januari, 2011

Sudah terang lagi tersuluh

Situasi:
Hari ini aku tergerak hati untuk menceritakan perihal diriku bersama teman-teman, seramai lima orang. Pada waktu itu, kami berlima sedang duduk-duduk dalam keadaan sebaris sambil menunggu kedatangan pensyarah.  Ikuti perbualan kami di bawah ini.



Soalan Zira secara tiba-tiba itu membuatkan kami semua tergelak. Mana tidaknya, sudah terang lagi bersuluh Ayu duduk di kerusi yang pertama. kedudukan kami adalah seperti dalam gambar di bawah:


Namun, kedudukannya itulah yang menyebabkan dia agak sukar untuk berkomunikasi dengan kami.


Ulasan saya:
Berdasarkan dialog di atas, saya ingin mengetahkan perihal bahasa sindiran. Bahasa sindiran digunakan untuk menyindir seseorang dengan tidak dinyatakan secara terus tetapi dikiaskan kepada perkara yang lain. Pertanyaan Zira kepada kami sama ada Ayu datang atau tidak hanyalah sebagai satu sindiran kerana jasad Ayu itu ada, tetapi tidak bercakap seolah-olah disitu tiada orang yang bernama Ayu. Selain  itu, kawan-kawan pasti perasan bahawa ibu-ibu kita sering menggunakan bahasa kiasan, contohnya “Awal balik hari ni” kata ibu kepada anaknya yang sampai di rumah pada waktu yang lewat.

Maksud pepatah : Sesuatu perkara yang sudah jelas dan tiada ragu-ragu lagi.





 

24 Januari, 2011

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan

Situasi:
Ada seorang rakan telah menceritakan suatu kisah kepadaku.  Ianya mungkin suatu kisah yang lucu, tetapi terdapat pengajaran di dalamnya. Mungkin rakan-rakan pembaca juga pernah mengalami kisah yang sama seperti ini. Rakan-rakan ingin tahu cerita apa yang ingin aku sampaikan? Ikuti kisah di bawah:


Ulasan saya:
Diari hari ini bukanlah untuk menyentuh perkataan-perkataan yang digunakan, tetapi untuk menyentuh tentang penggunaan ragam bahasa. Mengikut cerita yang telah rakan-rakan baca sebentar tadi, Siti telah menggunakan ragam bahasa mengherdik. Mengherdik adalah hampir sama dengan tempelak namun masih terdapat perbezaan. Bahasa jenis ini digunakan untuk menunjukkan kesalahan pada masa itu juga tetapi tujuannya adalah untuk kebaikan, bukannya untuk memalukan orang lain. Pada pendapat saya,  penggunaan bahasa ini adalah bagus (jika kena dengan tempatnya) untuk menyedarkan seseorang kerana adakalanya apabila kita menggunakan bahasa yang baik untuk menegur, seseorang itu tidak akan mendengar dan menyedari kesalahannya. Sesungguhnya, bumi mana yang tidak ditimpa hujan.

Maksud kata : Manusia tidak lepas daripada melakukan kesalahan.





 

21 Januari, 2011

Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Situasi:
Entah mengapa hari ini aku teringat cerita-cerita kartun yang pernah aku tonton. kartun yang paling aku minat ialah Detectif Conan. Setiap kali cerita tersebut ditayangkan, aku pasti sudah duduk menghadap televisyen. Dragon Ball juga turut menjadi siri kartun kegemaranku. Ada juga kawan-kawanku yang terikut-ikut percakapan watak-watak kartun tersebut.


Ulasan saya:
Sedarkah kawan-kawan pada masa kini semakin banyak kartun-kartun Melayu yang ditayangkan di televisyen-televisyen tempatan.? Cerita-cerita kartun tersebut antaranya ada yang diimport daripada luar (menukar aliran bahasa) dan ada juga hasil daripada orang tempatan sendiri, contohnya seperti dalam gambar di bawah:

 Antara jenis-jenis kartun yang ditayangkan di kaca TV

Namun, adakah kita sedari bahawa tayangan kartun itu mampu memberi impak yang besar kepada kanak-kanak.? Jika kartun yang ditayangkan di kaca TV membawa pengajaran yang baik, menggunakan bahasa yang manis dan bersopan, maka kanak-kanak akan mencontohi perkara yang baik itu. Manakala jika kartun yang ditayangkan adalah sebaliknya, maka kanak-kanak akan terdedah dengan perkara yang tidak elok dan mempengaruhi mindanya.  Pastinya kita yang sedang meningkat dewasa ini mengetahui bahawa kanak-kanak mudah meniru perbuatan dan percakapan yang dilihat dan didengarnya. Pendidikan yang kekal dan berkesan adalah bermula daripada umur kanak-kanak lagi, seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Di bawah ini saya ada sertakan video kartun Melayu, yang saya rasa ianya sudah tidak atau mungkin tidak pernah ditayangkan di TV lagi. Di dalamnya terkandung unsur pengajaran yang banyak. Penggunaan bahasanya bagus, mudah difahami dan sesuai dengan kanak-kanak.



Cerita Sang Kancil dengan monyet


Maksud peribahasa :  Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.



 

20 Januari, 2011

Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas

Situasi:
Berikut merupakan salah satu pantun yang aku peroleh dalam satu laman web. Bahasa yang digunakan indah dan menarik.

 Burung serindit terbang melayang,
                   mari hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit pandangan orang,
                 pandangan atas bahasa budi.


Ulasan saya:
Pantun telah wujud dalam masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman dan penggunaannya masih dikekalkan sehingga ke hari ini, bak kata pepatah tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Pantun merupakan salah satu bentuk wahana yang digunakan untuk memenuhi pelbagai fungsi seperti mendidik, menghibur, menyindir dan menyampaikan rasa hati. Pantun yang baik dan berkualiti adalah meliputi jumlah perkataan yang seimbang (empat perkataan dalam satu baris), penggunaan bahasanya, mempunyai maksud dan pembayang yang seiring dan mempunyai nilai-nilai falsafah. Tidak semua orang mampu menghasilkan sebuah pantun yang menarik terutamanya dalam aspek pemilihan kata yang halus dan penuh dengan kiasan. Sebagai contoh, penggunaan bahasa dalam pantun sindiran terdiri daripada kata-kata yang indah dan tidak menyinggung perasaan orang yang mendengarnya. Jika sindiran dilakukan secara terus-terang dengan menggunakan kata-kata yang kasar, sudah pasti akan mewujudkan suasana yang tidak harmonis dan boleh membawa kepada perselisihan faham. Saya amat mengagumi kepandaian masyarakat tradisional yang bijak dalam memanfaatkan bahasa dengan menzahirkannya dalam bentuk yang indah. Mereka mengambil unsur-unsur di sekeliling mereka seperti tumbuh-tumbuhan untuk menyusun bahasa dalam pantun agar menjadi lebih menarik dan lebih dekat dengan kehidupan seharian. 


 Sekadar contoh


Maksud peribahasa : Adat lama yang  tidak berubah dan tetap utuh. 







19 Januari, 2011

Membuat mahu menuras tidak


Situasi:

Nyanyian merupakan antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa dan menenangkan hati serta mengenakkan telinga. Namun, tidak semua orang akan mengatakan “Eh! Sedapnya lagu ni” apabila mendengar sesuatu nyanyian. Semuanya itu bergantung kepada gubahan lirik dan muziknya. Jika hendak dibandingkan, lagu-lagu sekarang kebanyakannya tidak sepuitis lagu-lagu zaman dahulu, seperti lagu-lagu Tan Sri P.Ramlee, Sudirman dan Jefrydin. Malahan, ada juga lagu yang menggunakan bahasa rojak, iaitu bahasa Melayu bercampur dengan bahasa Inggeris (tidak kesemuanya). Setelah mencari-cari, aku mengambil salah satu lagu P.Ramlee untuk membandingkannya dengan lagu yang didendangkan oleh Adam. Hasilnya seperti dalam gambar di bawah:


 Sekadar contoh


Ulasan saya:
Penulisan mengenai hal ini bukanlah untuk mengatakan bahawa penulis lirik pada masa kini tidak bagus. Ianya hanyalah salah satu daripada pandangan peribadi saya mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam industri muzik. Saya berpendapat, sebagai seorang penggubah dan penulis lirik lagu, mereka seharusnya mempunyai sikap bertanggungjawab ke atas setiap hasil karya yang mereka hasilkan kerana ia bukan sekadar untuk menghiburkan pendengar. Mereka perlu menambahkan ilmu mereka dalam menggubah lagu kerana jika mereka bersikap seperti membuat mahu menuras tidak, hasil kerja mereka bukan sahaja tidak memuaskan malah tiada kemajuan pada diri sendiri. Hal ini kerana, tugas menggubah dan menulis lirik lagu bukanlah sekadar untuk menghasilkan sebuah lagu yang merdu tetapi turut bersangkut-paut dengan perkembangan budaya dan bahasa, terutamanya bahasa Melayu. Sebenarnya, pemilihan bahasa yang terkandung dalam bait-bait lirik itu akan memberikan kesan yang tersendiri kepada pendengar berdasarkan pertimbangan, pengalaman dan pengetahuan mereka terhadap seni dalam lagu. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pendekatan yang mungkin digunakan dalam menggubah lirik adalah bergantung kepada pemilihan dan citarasa masing-masing sama ada menggunakan penyampaian secara terus ataupun secara tersirat, iaitu menggunakan bahasa puitis. Walaupun begitu, saya berpendapat bahawa untuk menjadi seorang penulis lirik yang berjaya, penggubah itu perlu mengetahui dan harus belajar mengenali seni bahasa untuk menyampaikan maksud secara terbaik kepada pendengar. Untuk memartabatkan bahasa Melayu di mata dunia, peranan industri muzik juga amat besar. Justeru, setiap pengguna bahasa sama ada ahli politik, ahli muzik atau sesiapa sahaja harus menganggap diri mereka sebagai pejuang bahasa yang akan memastikan penggunaan bahasa Melayu dilakukan secara menyeluruh.


Maksud kata : Ingin melakukan sesuatu pekerjaan tetapi malas hendak mempelajarinya atau menambahkan pengetahuan tentang pekerjaan tersebut.




 

18 Januari, 2011

Hilang bahasa lenyaplah bangsa


Situasi:
Penggunaan bahasa rojak dalam percakapan sehari-hari sememangnya sudah tidak asing lagi dalam kamus hidup masyarakat kini. Video di bawah adalah sebagai bukti kecil yang aku perolehi melalui Youtube. Kawan-kawan boleh melihat dan mendengarnya. Antara perkataan Inggeris yang terselit dalam percakapannya adalah seperti ‘confident’, ‘as for now’ dan ‘new quality singer’.

Sekadar contoh


Ulasan saya:
Dalam setiap ayat seseorang individu (segelintir dalam masyarakat) pada masa sekarang, kita akan mendapati bahawa mesti ada mengandungi (sekurang-kurangnya suku perkataan) kata-kata Inggeris yang dicampurkan dengan bahasa kita. Perkara ini sudah menjadi lazim dan lumrah sehinggakan ia boleh dikatakan telah menjadi sebahagian daripada budaya baru bangsa Melayu, iaitu bercakap separuh Melayu, separuh Inggeris. Sebagai contoh, penggunaan ‘I’ dan ‘you’ dalam bahasa harian semakin menular hebat. Perkara sebegini adalah sukar untuk dibendung kerana bukan sahaja orang-orang biasa yang menggunakannya, malah turut digunakan oleh orang-orang politik dan kesenian. Sungguhpun perkara itu secara pandangan kasarnya adalah tidak salah, tetapi anak akan kecil akan mengikut, murid juga akan mengikut sehinggalah akhirnya bahasa Melayu yang sempurna sudah tidak ada, yang ada hanyalah bahasa rojak, iaitu bahasa campuran. Jika hilang bahasa, maka lenyaplah bangsa. 


 

Maksud kata : Sekiranya sesuatu bahasa itu tidak digunakan lagi, lambat laun bangsanya akan turut lenyap. 




17 Januari, 2011

Yang baik jadikan teladan yang buruk jadikan sempadan


Penggunaan bahasa yang ringkas dan mudah bukan sahaja baru bermula pada masa sekarang, tetapi telah bertahun dahulu ia digunakan dan semakin meluas pada hari ini. Kawan-kawan tidak percaya? Ikuti kisah di bawah ini:



Situasi:
Hari ini aku ada buka blog-blog orang, saja-saja gatal mata nak buat contoh untuk blog baru aku ini. Mana tahu jika ada yang elok, boleh dijadikan teladan dan yang buruk pula dijadikan sempadan. Sedang aku melihat-lihat blog tersebut, aku telah terjumpa satu blog yang agak menarik (nama dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu). Kisah-kisah yang diceritakan mencuit hati dan lebih dekat dengan pengalaman hidup kita sehari-hari.  Namun, penggunaan bahasa yang digunakan begitu selamba dan ringkas. Ejaan juga disingkatkan. Bagi sesiapa yang tidak pernah menggunakan singkatan ejaan, pasti sukar untuk memahami perkataan itu. Perkataan ‘tidak’ disingkatkan menjadi ‘x’ dan perkataan ‘engkau’ dieja ‘ko’. Bagi kata ganda pula, tanda sempang (-) telah dihilangkan dan diringkaskan seperti ‘cikgu-cikgu’ menjadi ‘cikgu2’ dan banyak lagilah.

 Sekadar contoh



Ulasan saya:
Sebenarnya, ledakan teknologi telah menyebabkan bahasa turut masuk dalam arus perkembangannya memandangkan bahasa merupakan suatu bentuk komunikasi yang digunakan seharian. Secara tidak langsung, penggunaan teknologi telah mempengaruhi penggunaan bahasa ringkas untuk berhubung antara satu sama lain, contohnya seperti berkomunikasi secara talian terus dalam ruang sembang siber (Facebook, Yahoo! Messenger, Blog dll.). Perkara semacam ini sememangnya sering dilakukan oleh kebanyakan orang Melayu, termasuklah diri penulis ini sendiri, lebih-lebih lagi semasa menghantar sistem pesanan ringkas. Hal ini ekerana ramai akan mengatakan apa perlunya menggunakan bahasa yang lebih tersusun jika bahasa ringkas lebih mudah dan kerap digunakan dalam kehidupan seharian?. Kawan-kawan perlu ketahui bahawa penggunaan bahasa ringkas dan rojak secara berleluasa tanpa sekatan akan mengakibatkan individu itu malas untuk mempelajari bahasa Melayu yang sebenar secara menyeluruh, iaitu memiliki tatabahasa dan frasa yang lebih tersusun. Perlu juga diingati oleh kita semua bahawa penggunaan bahasa ringkas akan membawa implikasi besar dalam kehidupan kita kerana perkara itu membabitkan komunikasi harian serta membabitkan jati diri setiap bangsa yang diwakilinya. Seterusnya, jika keadaan ini berterusan, masyarakat akan membenarkan bahasa terutama bahasa Melayu menjadi rosak memandangkan keindahan ayat yang terkandung di dalamnya akan terhakis sedikit demi sedikit. Jika hendak difikirkan, siapa lagi yang perlu memartabatkan bahasa Melayu kalau bukan orang Melayu itu sendiri. Jika dahulu, penggunaan ringkasan bahasa dalam khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) masih boleh dimaafkan kerana disebabkan oleh had teks yang ditawarkan dalam telefon bimbit menjadi penghalang. Namun kini, apa pula alasannya jika kita menggunakan bahasa ringkas untuk bersembang di ruang siber kerana jumlah teks tidak dihadkan? Justeru, semua pihak perlu memberikan kerjasama yang padu dalam mempertahankan keindahan bahasa ibunda sendiri terutamanya dalam zaman teknologi kini kerana bahasa adalah nadi dan cerminan bangsa.


Maksud kata : Perkara yang baik dijadikan panduan manakala perkara yang buruk dijadikan sebagai garis pemisah dalam melakukan sesuatu pekerjaan.





14 Januari, 2011

Saya budak baru belajar


Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.

Blog ini dibuat hanyalah sekadar untuk berkongsi sebahagian kisah dalam kehidupan seharian mengenai citra bahasa. Mohon ampun andainya lakaran citra bahasa ini ada menyentuh sensitiviti para pembaca. Segala komen dan rangsangan daripada anda amat saya hargai. Terima kasih daun keladi kerana sudi membaca lakaran ini. 


Mesej : Yang kurik itu kendi,
               yang merah itu saga;
               yang baik itu budi,
               yang indah itu bahasa.