18 Mac, 2011

Antara tradisional dengan moden

Situasi:
Semasa melayari internet, aku terjumpa peribahasa-peribahasa lama yang telah dimodenkan. Rasa hendak tergelak apabila membaca peribahasa-peribahasa tersebut. Di bawah ini terdapat beberapa contoh peribahasa moden.




Ulasan saya:
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk kepada peribahasa yang dicipta selepas kemerdekaan. Sebenarnya, peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya masyarakat Melayu. Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan dan membina minda. Tetapi pada masa kini, pelbagai peribahasa telah dicipta mengikut sesuka hati. Selain itu, peribahasa yang baru dicipta turut memberikan peluang kepada penerbit buku untuk melariskan buku masing-masing dengan memuatkan peribahasa moden yang janggal. Selain itu, peribahasa yang baru dicipta juga mendorong kepada kerosakan bahasa, kerana sesetengah daripadanya hanya dibuat secara serkap jarang tanpa sebarang penyeliaan oleh pihak tertentu.




17 Mac, 2011

Fonetik dan Fonologi

Situasi:
Hari ini semasa kuliah Karya Agung, Prof. Abdullah ada bertanyakan fungsi kami belajar fonetik dan fonologi. Kemungkinan beliau bertanyakan sebegitu kerana melihat cara kami bercakap yang masih tidak mahir menggunakan bahasa tinggi. Beliau meminta agar kami menyebut perkataan dengan membunyikan setiap huruf.

Ulasan saya:
Teguran yang dilakukan oleh Prof. Abdullah Hasaan adalah baik. Hal ini kerana, sebagai guru kelak, kita perlu menggunakan bahasa standard. Jika komunikasi guru kurang berkesan, pelajar tidak dapat mencapai perkara yang ingin guru sampaikan. Sebagai contoh, jikalau ada antara guru yang menyebut sesuatu perkataan tidak jelas, maka agak sukar untuk pelajar memahami pengajaran yang sedang berlangsung. Menurut Prof. Abdullah lagi, pengajaran fonetik dan fonologi adalah untuk membetulkan sebutan kita, namun masih ramai yang tidak mempraktikkannya. Justeru, pengucapan sesuatu perkataan dengan baik amat dititiberatkan untuk mendapatkan komunikasi yang berkesan.




16 Mac, 2011

Bahasa rempit?

Situasi:
Hari ini aku terbaca sebuah blog yang menceritakan perihal penggunaan bahasa rempit. Sebenarnya juga, ini baru pertama kali aku mendengar bahasa rempit. Jadi, untuk menjelaskan kekeliruanku itu, aku membaca kisah yang ditulis oleh penulis blog tersebut. Mengikut tuan punya blog itu, bahasa rempit adalah seperti adalah ejaan yang dieja berlainan daripada ejaan asal seperti ‘lew’, ‘kew’, ‘jew’, ‘niew’, ‘kitew’ dan banyak lagi.

Ulasan saya:
Dewasa kini, penggunaan bahasa sebegitu semakin merebak, terutamanya dalam kalangan remaja. Mereka berpendapat, penggunaan bahasa seperti itu menunjukkan diri mereka lebih hebat dan tidak terkongkong dengan bahasa Melayu. Sudah terang-terangan bahawa bahasa itu melambangkan identiti kita. Jika rosak bahasa yang kita gunakan, maka bangsa juga akan rosak. Janganlah kita mencemarkan bahasa Melayu kerana diri kita juga adalah orang Melayu yang penuh dengan budaya yang sopan dan berhemah. Masyarakat perlu tahu bahawa sopan dan berhemah bukan sahaja ditonjolkan oleh perbuatan, tetapi dapat ditonjolkan melalui percakapan dan penggunaan bahasa harian kita. Justeru, marilah kita bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu.




  

15 Mac, 2011

Excuse me

Situasi:
Malam tadi, sewaktu saya membaca buku sambil berbaring di atas katil, kawan kepada rakan sebilik saya datang. Mereka berbual-bual. Kemudian kawan kepada rakan sebilik saya itu bersin dan mengucapkan excuse me.

Ulasan saya:
Untuk pengetahuan kawan-kawan sekalian, rakan sebilik saya adalah Islam, kawannya juga Islam, dan saya tentulah Islam juga. Sebagai orang Islam, kita telah diajarkan untuk mengucapkan puji-pujian kepada Allah seperti Alhamdulillah, Astaghfirullah, Subhanallah dan banyak lagi. Saya berpendapat, adalah lebih manis dan mendapat berkat jika kita bersin, kemudian kita mengucapkan puji-pujian kepada Allah, iaitu Alhamdulillah. Lazimnya, orang bukan Islam yang akan mengucapkan excuse me apabila mereka bersin. Melihat situasi ini, saya mula terfikir. Begitu hebatkah ‘orang luar’ sehingga kita perlu mengikut etika dan etiket mereka.? Sebenarnya, tidak salah untuk kita mengikut, tetapi ikutlah untuk perbuatan yang baik dan mendatangkan faedah kepada diri sendiri. Pastinya ada segelintir daripada kita yang agak jarang untuk mengucapkan puji-pujian kepada Allah dalam sehari. Tambahan pula, kadang kala jika kita ditimpa musibah, kita akan mengeluarkan kata-kata makian seperti celaka, sial, bodoh dan sebagainya. Bukankah lebih elok jika kita mengeluarkan kata-kata pujian seperti Masya’Allah dan Astaghfirullah Hal Azim agar hati lebih tenang dan ikhlas.



13 Mac, 2011

Mereka-mereka

Situasi:
Pagi-pagi lagi lebih kurang pukul 8 pagi, aku membuka televisyen untuk menonton rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV 9. Pada hari ini pengacara yang bertugas ialah Aziz Desa dan Sharifah Shahira. Sebelum memulakan program, Sharifah Shahira saling berbual bertukar informasi bersama Aziz Desa. Pada masa itulah, Sharifah Shahira telah menyatakan bahawa ada pihak atasan telah menegur mengenai pemakaian tatabahasa yang salah. Dia menyatakan penggunaan ‘mereka-mereka’ adalah salah kerana ‘mereka’ sudah menunjukkan bilangan yang ramai. Sharifah Shahira turut menyentuh gandingan ‘justeru itu’ adalah salah. Penggunaan yang betul hanya ‘justeru’ sahaja.

Contoh kesalahan 1 : Kepada mereka-mereka yang berada di rumah, jangan …
Contoh kesalahan 2 : Justeru itu, kita perlu berhati-hati …

Ulasan saya:
Sebenarnya, tindakan pihak atasan tersebut yang menegur kesilapan tatabahasa pengacara semasa mengendalikan rancangan adalah bagus kerana kadang kala kita sendiri tidak menyedari kesilapan yang telah kita lakukan. Apabila Sharifah Shahira menyatakannya secara terbuka kepada penonton, secara tidak langsung ia akan membuka minda penonton. Saya merasakan adalah lebih baik jika setiap rangkaian televisyen mempunyai pakar bahasa yang mampu membetulkan penggunaan bahasa Melayu yang salah. Hal ini akan dapat mengurangkan kesalahan tatabahasa.   




12 Mac, 2011

Bahasa Tawau

Situasi:
Pernahkah orang-orang Semenanjung  mendengar atau menggunakan bahasa Tawau? Di sini aku ingin berkongsi mengenai beberapa perkataan Tawau, iaitu:
Limpas           : lalu, melewati.
Peggal            : buat naik angin, buat marah.
Baccat            : buat naik angin, buat marah.

Ampas            : hempas.
Kompek         : Beg plastik
Tambling       : Perbuatan akrobatik terjun sungai  

Ulasan saya:
Apabila pertama kali saya menyebutkan perkataan tersebut, ada terasa kelainannya. Apabila saya melihat maknanya, perasaan pelik itu semakin bertambah. Saya tertanya-tanya di dalam diri saya tentang kepelbagaian bahasa yang terdapat di Malaysia. Cuba anda bayangkan bahasa-bahasa yang terdapat di negara-negara lain. Pastinya mereka juga mempunyai pelbagai jenis bahasa mengikut kaum mereka seperti di Malaysia ini. Melalui perbezaan bahasa juga, kita dapat menentukan budaya yang diamalkan oleh mereka. Sememangnya adalah tidak mampu untuk kita menguasai keseluruhan bahasa yang terdapat di Malaysia. Namun, sedikit sebanyak kita harus mengambil tahu berkenaan bahasa-bahasa atau dialek yang terdapat di Malaysia.




10 Mac, 2011

Dialog Kota Raya

Situasi:
Aku cukup gemar membaca dialog-dialog kartun Kota Raya. Selain lukisannya yang cantik dan menarik, kisah yang dipaparkan juga agak lawak. Atau mungkin cara penulisannya yang bersahaja menjadikan ramai yang gemar membaca dialog kartun tersebut? Di bawah ini aku letakkan contoh satu dialog Kota Raya.







Ulasan saya:
Cuba anda perhatikan, perbezaan antara penulisan ilmiah dengan dialog di atas. Pertama, anda akan dapat melihat perbezaan ejaan. Ejaan dalam dialog kartun biasanya akan ditambah-tambah seperti ‘alaa’, ‘lagiii’, dan ‘nasik’ manakala penulisan ilmiah penggunaan tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali. Perbezaan kedua pula adalah penggunaan tanda baca, iaitu noktah dan seru yang digunakan lebih daripada satu dalam ayat. Perkara yang menjadi persoalan dalam fikiran saya, adakah gaya penulisan yang bermacam-macam itu dibenarkan dalam menulis dialog kartun? Kebanyakan kanak-kanak menggemari cerita-cerita kartun sama ada yang dipaparkan menerusi televisyen mahupun akbhar atau majalah. Amat membimbangkan jika ada segelintir kanak-kanak meniru ejaan tersebut dan mengaplikasikannya dalam penulisan karangan di sekolah. Fikir-fikirkanlah.

08 Mac, 2011

Perempuan atau betina?

Situasi:
Sedang aku duduk-duduk bersama rakan, ada seekor kucing lalu dihadapan kami. Lantas, ada salah seorang daripada rakanku menyatakan “mesti kucing itu perempuan kerana mukanya comel-comel”. Aku tergelak mengdengarnya lalu terus mengatakan “bukan perempuan, betina”.

Gambar hiasan


Ulasan saya:
Sebenarnya, banyak kali juga saya mendengar orang menggunakan perkataan perempuan untuk merujuk kepada jantina binatang. Saya berpendapat, perkara sebegini tidak wajar berlaku kerana semua individu sudah sedia maklum jantina untuk binatang adalah jantan dan betina, manakala jantina untuk manusia atau orang adalah lelaki dan perempuan. Apabila rakan-rakan membaca ayat di atas juga, pastinya rakan-rakan perasan perkataan ‘comel-comel’. Mengikut tatabahasa bahasa Melayu yang betul, parkataan yang digandakan adalah untuk menunjukka banyak. Namun, kucing yang lalu dihadapan kami itu hanya seekor. Justeru, setiap individu perlu mengambil inisiatif sendiri dalam usaha menggunakan bahasa Melayu dengan betul.




07 Mac, 2011

Setengah ringgit

Situasi:
Sebelum pulang ke rumah, aku singgah di sebuah kedai yang berhadapan dengan kampus untuk membeli makanan. Aku hanya mengabil sedikit kuah sahaja. Kemudian, apabila berada di kaunter, pak cik tersebut menyatakan harga makanan saya setengah ringgit.

Ulasan saya:
Ayat setengah ringgit yang diucapkan oleh pak cik tersebut pada saya hanyalah gurauan semata-mata. Hanya sekadar untuk membuatkan pelanggannya tersenyum. Hal ini menunjukkan bahawa, penggunaan bahasa itu amat luas. Penggunaannya boleh menimbulkan pelbagai emosi seperti marah, sedih, kecewa, terkejut dan gembira. Tidak salah apabila sesekali kita menukar atau mengubah penggunaan ayat biasa kepada ayat yang lebih ceria sifatnya. Namun, perkara yang ditakutkan ialah apabila ayat yang pada mulanya menjadi bahan gurauan akan menjadi bahasa harian yang tetap sehingga ayat yang betul dilupakan.  





06 Mac, 2011

Bertanam tebu di tepi bibir

Situasi:
Selain gerai-gerai buku, terdapat juga gerai-gerai minuman, makanan, pakaian dan kelengkapan wanita yang dibuka sempena program Pesta Buku dan Informasi. Aku dan kawan-kawan mengambil peluang tersebut untuk meninjau-ninjau barang-barang yang dijual. Kami telah pergi ke satu gerai yang menjual pakaian. Ada seorang rakan saya yang ingin membeli kain pasang. Berikut merupakan dialog urusan jual beli tersebut:


Ulasan saya:
Sudah menjadi kelaziman bahawa setiap daripada penjual akan bermulut manis untuk menarik minat para pembeli. Sebenarnya, kata-kata yang manis seperti cantik, susah hendak dapat, murah dan sebagainya  sudah menjadi permainan mulut warga penjual dan peniaga. Tetapi, peniaga dan penjual harus elakkan daripada menipu untuk mengaut keuntungan., contohnya barang-barang tersebut tidak berapa berkualiti tetapi dijual dengan harga yang mahal. Kemudian mereka memberitahu kepada pelanggan bahawa barangan tersebut amat berkualiti, baik cantik dan tidak rugi untuk membelinya. Justeru, pembeli harus berhati-hati terhadap penjual yang bertanam tebu di tepi bibir agar tidak salah membeli dan berfikir terlebih dahulu untuk mengelakkan berlakunya pembaziran.




05 Mac, 2011

Sedap nampak

Situasi:
Hari ini KHAR ada membuat pertandingan nasyid sempena program Pesta Buku dan Informasi yang bermula pada 01 - 06 Mac. Kebetulan rumahku berhadapan dengan tempat pertandingan (berhadapan dengan pentas utama). Jadi aku hanya melihat pertandingan tersebut dari beranda rumah sahaja. Dalam banyak-banyak kumpulan, ada satu kumpulan yang menarik perhatianku. Rasa-rasanya mereka terdiri daripada pelajar sekolah menengah. Suara penyanyi utamanya unik dan sesuai dengan lagu yang di bawa. Apabila nyanyian mereka tamat, ada seorang juri telah memberikan komen. Antara komen yang diberi ialah “Suara serak-serak basah. Sedap nampak.” Di bawah ini merupakan antara gambar kumpulan nasyid yang bertanding.

Gambar 1


Gambar 2

Ulasan saya:
Saya berpendapat bahawa ayat “sedap nampak” adalah tidak bersesuaian. Hal ini kerana, perkataan ‘nampak’ hanya digunakan apabila kita dapat melihat sesuatu perkara atau benda itu. Dalam konteks ini, “sedap nampak” digunakan untuk merujuk kepada suara penyanyi utama itu. hal tersebut menunjukkan ayat tersebut adalah tidak bersesuaian kerana suara tidak boleh dilihat, tetapi hanya boleh didengar. Justeru, pada pendapat saya, ayat yang sesuai adalah “sedap didengar”.   





03 Mac, 2011

Syaitan menyukainya

Situasi:
Di sini saya ingin berkongsi satu kisah. Kisah ini adalah mengenai sikap manusia yang tidak tahu untuk menghormati keadaan sekelilingnya. Tadi, apabila selesai sahaja azan maghrib berkumandang, saya terus mencapai kain telekung untuk bersolat. Tetapi, apa yang menggeramkan saya, bila ada suara-suara yang terjerit-jerit dan ketawa besar di kaki lima di hadapan bilik saya pada waktu itu. Tidak tahukah mereka waktu itu adalah waktu maghrib? Waktu di mana syaitan suka berkeliaran?

Ulasan saya:
Sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran yang tinggi, kita seharusnya bijak berfikir. Ada kalanya sesuatu perbuatan itu boleh kita lakukan, dan ada kalanya tidak boleh dilakukan walaupun perkara itu tidak menyalahi hukum. Kepada pembaca sekalian, belajarlah menghormati, bukan sahaja kepada orang lain malah kepada agama dan keadaan sekeliling. Jagalah tingkah laku sebaik mungkin agar tidak dipandang sinis oleh masyarakat lain.  




02 Mac, 2011

Memo oh memo

Situasi:
Sewaktu aku ingin membeli makanan pagi tadi, aku membaca memo-memo kolej yang terdapat pada papan kenyataan. Dalam banyak-banyak memo, ada satu memo yang menarik perhatianku, iaitu perkataan naqib/bah. Memo tersebut seperti gambar di bawah.



Ulasan saya:
Saya berpendapat bahawa sepatutnya orang yang menulis memo tersebut perlu menggunakan tulisan atau ayat yang penuh kerana kadang kala ia akan menimbulkan kekeliruan jika dieja sebegitu. Pernah juga kesilapan yang sama dilakukan untuk perkataan yang lain, iaitu siswa/i. Sepatutnya mereka perlu mengeja penuh seperti naqib/naqibah dan siswa/siswi.



01 Mac, 2011

Prinsip Jus Soli

Situasi:
Keluar sahaja daripada pintu utama Proton City, aku melihat bas untuk ke kampus tiada. Aku dan Hazimah mengambil keputusan untuk duduk-duduk dahulu. Kebetulan di sebelahku ada beberapa orang pelajar perempuan sedang berborak-borak. Kemudian salah seorang daripada mereka bangun dan memanggil “kak”. Kebetulan aku menoleh kepadanya. Dia merenung kad matrikku dan berkata “erm, betullah”. Oh, rupa-rupanya dia memanggil diriku. Kemudian dia menyambung pertanyaan. Perbualan kami seperti berikut:

                        Pelajar    :       Akak ambil Bahasa Melayu kan?
                        Aku        :       Ha’ah, kenapa?
                        Pelajar    :       Prinsip Jus Soli tu dasar atau apa?
                        Aku         :       Akak tak pasti lah. Ambil sejarah ke?
                        Pelajar    :       Pengajian Malaysia.
                        Hazimah :      Carilah dalam internet.
                        Aku        :       Kami pelajar Bahasa Melayu. Lama dah tinggal, jadi tak tahu.
Sedang kami bercakap, dia melihat telefon bimbitnya, mungkin  membalas SMS. Kemudian dia bertanya lagi, apa lagi dasar kerajaan sebelum dan selepas merdeka.? Kami agak malas untuk menjawab kerana tidak suka akan sikapnya itu. Dia tidak memberikan salam dan bersikap sambil lewa apabila kami menjawab soalannya.
   
Ulasan saya:
Perlakuan pelajar tersebut amat tidak bersopan. Sebagai pelajar junior, dia perlu menghormati kami. Bukanlah saya ini terlalu inginkan penghormatan tersebut, tetapi sekurang-kurangnya pelajar itu haruslah menghulurkan salam terlebih dahulu dan mendengar pandangan kami kerana dia yang bertanyakan soalan. Selain itu, saya berpendapat, jika kita ingin bertanya, tidak mengira soalan itu ditujukan kepada sesiapa pun gunakanlah bahasa yang sopan. Pamerkanlah peribadi yang baik.