Situasi:
Berikut merupakan salah satu pantun yang aku peroleh dalam satu laman web. Bahasa yang digunakan indah dan menarik.
Burung serindit terbang melayang,
mari hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit pandangan orang,
pandangan atas bahasa budi.
Ulasan saya:
Pantun telah wujud dalam masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman dan penggunaannya masih dikekalkan sehingga ke hari ini, bak kata pepatah tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Pantun merupakan salah satu bentuk wahana yang digunakan untuk memenuhi pelbagai fungsi seperti mendidik, menghibur, menyindir dan menyampaikan rasa hati. Pantun yang baik dan berkualiti adalah meliputi jumlah perkataan yang seimbang (empat perkataan dalam satu baris), penggunaan bahasanya, mempunyai maksud dan pembayang yang seiring dan mempunyai nilai-nilai falsafah. Tidak semua orang mampu menghasilkan sebuah pantun yang menarik terutamanya dalam aspek pemilihan kata yang halus dan penuh dengan kiasan. Sebagai contoh, penggunaan bahasa dalam pantun sindiran terdiri daripada kata-kata yang indah dan tidak menyinggung perasaan orang yang mendengarnya. Jika sindiran dilakukan secara terus-terang dengan menggunakan kata-kata yang kasar, sudah pasti akan mewujudkan suasana yang tidak harmonis dan boleh membawa kepada perselisihan faham. Saya amat mengagumi kepandaian masyarakat tradisional yang bijak dalam memanfaatkan bahasa dengan menzahirkannya dalam bentuk yang indah. Mereka mengambil unsur-unsur di sekeliling mereka seperti tumbuh-tumbuhan untuk menyusun bahasa dalam pantun agar menjadi lebih menarik dan lebih dekat dengan kehidupan seharian.
Sekadar contoh
Maksud peribahasa : Adat lama yang tidak berubah dan tetap utuh.