Penggunaan bahasa yang ringkas dan mudah bukan sahaja baru bermula pada masa sekarang, tetapi telah bertahun dahulu ia digunakan dan semakin meluas pada hari ini. Kawan-kawan tidak percaya? Ikuti kisah di bawah ini:
Situasi:
Hari ini aku ada buka blog-blog orang, saja-saja gatal mata nak buat contoh untuk blog baru aku ini. Mana tahu jika ada yang elok, boleh dijadikan teladan dan yang buruk pula dijadikan sempadan. Sedang aku melihat-lihat blog tersebut, aku telah terjumpa satu blog yang agak menarik (nama dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu). Kisah-kisah yang diceritakan mencuit hati dan lebih dekat dengan pengalaman hidup kita sehari-hari. Namun, penggunaan bahasa yang digunakan begitu selamba dan ringkas. Ejaan juga disingkatkan. Bagi sesiapa yang tidak pernah menggunakan singkatan ejaan, pasti sukar untuk memahami perkataan itu. Perkataan ‘tidak’ disingkatkan menjadi ‘x’ dan perkataan ‘engkau’ dieja ‘ko’. Bagi kata ganda pula, tanda sempang (-) telah dihilangkan dan diringkaskan seperti ‘cikgu-cikgu’ menjadi ‘cikgu2’ dan banyak lagilah. Sekadar contoh
Ulasan saya:
Sebenarnya, ledakan teknologi telah menyebabkan bahasa turut masuk dalam arus perkembangannya memandangkan bahasa merupakan suatu bentuk komunikasi yang digunakan seharian. Secara tidak langsung, penggunaan teknologi telah mempengaruhi penggunaan bahasa ringkas untuk berhubung antara satu sama lain, contohnya seperti berkomunikasi secara talian terus dalam ruang sembang siber (Facebook, Yahoo! Messenger, Blog dll.). Perkara semacam ini sememangnya sering dilakukan oleh kebanyakan orang Melayu, termasuklah diri penulis ini sendiri, lebih-lebih lagi semasa menghantar sistem pesanan ringkas. Hal ini ekerana ramai akan mengatakan apa perlunya menggunakan bahasa yang lebih tersusun jika bahasa ringkas lebih mudah dan kerap digunakan dalam kehidupan seharian?. Kawan-kawan perlu ketahui bahawa penggunaan bahasa ringkas dan rojak secara berleluasa tanpa sekatan akan mengakibatkan individu itu malas untuk mempelajari bahasa Melayu yang sebenar secara menyeluruh, iaitu memiliki tatabahasa dan frasa yang lebih tersusun. Perlu juga diingati oleh kita semua bahawa penggunaan bahasa ringkas akan membawa implikasi besar dalam kehidupan kita kerana perkara itu membabitkan komunikasi harian serta membabitkan jati diri setiap bangsa yang diwakilinya. Seterusnya, jika keadaan ini berterusan, masyarakat akan membenarkan bahasa terutama bahasa Melayu menjadi rosak memandangkan keindahan ayat yang terkandung di dalamnya akan terhakis sedikit demi sedikit. Jika hendak difikirkan, siapa lagi yang perlu memartabatkan bahasa Melayu kalau bukan orang Melayu itu sendiri. Jika dahulu, penggunaan ringkasan bahasa dalam khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) masih boleh dimaafkan kerana disebabkan oleh had teks yang ditawarkan dalam telefon bimbit menjadi penghalang. Namun kini, apa pula alasannya jika kita menggunakan bahasa ringkas untuk bersembang di ruang siber kerana jumlah teks tidak dihadkan? Justeru, semua pihak perlu memberikan kerjasama yang padu dalam mempertahankan keindahan bahasa ibunda sendiri terutamanya dalam zaman teknologi kini kerana bahasa adalah nadi dan cerminan bangsa.
Maksud kata : Perkara yang baik dijadikan panduan manakala perkara yang buruk dijadikan sebagai garis pemisah dalam melakukan sesuatu pekerjaan.