Petang tadi, aku terlihat ada lembaran kecil iklan yang diletakkan di hadapan pintu rumah. Kemudian aku terus mengambilnya dan membaca serba ringkas. Lembaran iklan tersebut adalah seperti gambar di bawah:
Ulasan saya:
Jika kawan-kawan perasan, ada dua tanda baca yang digunakan tidak mengikut sistem tatabahasa yang betul. Selepas perkataan ilmu, tanda koma (,) telah diletakkan dan diikuti oleh perkataan seluas. Pada pendapat saya, tanda koma tidak perlu diletakkan di antara perkataan ilmu dengan seluas kerana ia merupakan satu ungkapan ayat biasa.
Bagi penggunaan tanda seru, ia dipakai sesudah ungkapan atau pernyataan yang berupa seruan atau perintah yang menggambarkan kesungguhan, ketidakpercayaan, ataupun rasa emosi yang kuat. Hal ini bermakna, kata seru ialah kata yang digunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang seperti marah, sedih, gembira, sakit, hairan, kagum, terkejut, dan sebagainya. Cara penggunaannya disesuaikan dengan intonasi pengucapan, iaitu dengan nada meninggi atau menurun.
Misalnya :
Alangkah seramnya peristiwa itu!
Tutup pintu itu!
Merdeka!
Tanda koma (,) pula berfungsi sebagai unsur pemisah kata dan frasa yang berturutan, unsur nombor yang berturutan, pembilangan dan pengulangan, ungkapan yang diulang, beberapa ayat setara, kata hubung tidak setara atau bertentangan fakta daripada ayat-ayat induk, memisahkan baris pantun khususnya akhir baris pertama dan baris ketiga, baris-baris syair, bahagian awal ayat dengan petikan langsung, klausa komplemen yang mendahului ayat induk (dalam ayat songsang), klausa keterangan musabab, syarat, waktu, pertentangan, harapan, cara, alat, atau gaya yang mendahului ayat induk dan banyak lagi.