19 Januari, 2011

Membuat mahu menuras tidak


Situasi:

Nyanyian merupakan antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa dan menenangkan hati serta mengenakkan telinga. Namun, tidak semua orang akan mengatakan “Eh! Sedapnya lagu ni” apabila mendengar sesuatu nyanyian. Semuanya itu bergantung kepada gubahan lirik dan muziknya. Jika hendak dibandingkan, lagu-lagu sekarang kebanyakannya tidak sepuitis lagu-lagu zaman dahulu, seperti lagu-lagu Tan Sri P.Ramlee, Sudirman dan Jefrydin. Malahan, ada juga lagu yang menggunakan bahasa rojak, iaitu bahasa Melayu bercampur dengan bahasa Inggeris (tidak kesemuanya). Setelah mencari-cari, aku mengambil salah satu lagu P.Ramlee untuk membandingkannya dengan lagu yang didendangkan oleh Adam. Hasilnya seperti dalam gambar di bawah:


 Sekadar contoh


Ulasan saya:
Penulisan mengenai hal ini bukanlah untuk mengatakan bahawa penulis lirik pada masa kini tidak bagus. Ianya hanyalah salah satu daripada pandangan peribadi saya mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam industri muzik. Saya berpendapat, sebagai seorang penggubah dan penulis lirik lagu, mereka seharusnya mempunyai sikap bertanggungjawab ke atas setiap hasil karya yang mereka hasilkan kerana ia bukan sekadar untuk menghiburkan pendengar. Mereka perlu menambahkan ilmu mereka dalam menggubah lagu kerana jika mereka bersikap seperti membuat mahu menuras tidak, hasil kerja mereka bukan sahaja tidak memuaskan malah tiada kemajuan pada diri sendiri. Hal ini kerana, tugas menggubah dan menulis lirik lagu bukanlah sekadar untuk menghasilkan sebuah lagu yang merdu tetapi turut bersangkut-paut dengan perkembangan budaya dan bahasa, terutamanya bahasa Melayu. Sebenarnya, pemilihan bahasa yang terkandung dalam bait-bait lirik itu akan memberikan kesan yang tersendiri kepada pendengar berdasarkan pertimbangan, pengalaman dan pengetahuan mereka terhadap seni dalam lagu. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pendekatan yang mungkin digunakan dalam menggubah lirik adalah bergantung kepada pemilihan dan citarasa masing-masing sama ada menggunakan penyampaian secara terus ataupun secara tersirat, iaitu menggunakan bahasa puitis. Walaupun begitu, saya berpendapat bahawa untuk menjadi seorang penulis lirik yang berjaya, penggubah itu perlu mengetahui dan harus belajar mengenali seni bahasa untuk menyampaikan maksud secara terbaik kepada pendengar. Untuk memartabatkan bahasa Melayu di mata dunia, peranan industri muzik juga amat besar. Justeru, setiap pengguna bahasa sama ada ahli politik, ahli muzik atau sesiapa sahaja harus menganggap diri mereka sebagai pejuang bahasa yang akan memastikan penggunaan bahasa Melayu dilakukan secara menyeluruh.


Maksud kata : Ingin melakukan sesuatu pekerjaan tetapi malas hendak mempelajarinya atau menambahkan pengetahuan tentang pekerjaan tersebut.




 

18 Januari, 2011

Hilang bahasa lenyaplah bangsa


Situasi:
Penggunaan bahasa rojak dalam percakapan sehari-hari sememangnya sudah tidak asing lagi dalam kamus hidup masyarakat kini. Video di bawah adalah sebagai bukti kecil yang aku perolehi melalui Youtube. Kawan-kawan boleh melihat dan mendengarnya. Antara perkataan Inggeris yang terselit dalam percakapannya adalah seperti ‘confident’, ‘as for now’ dan ‘new quality singer’.

Sekadar contoh


Ulasan saya:
Dalam setiap ayat seseorang individu (segelintir dalam masyarakat) pada masa sekarang, kita akan mendapati bahawa mesti ada mengandungi (sekurang-kurangnya suku perkataan) kata-kata Inggeris yang dicampurkan dengan bahasa kita. Perkara ini sudah menjadi lazim dan lumrah sehinggakan ia boleh dikatakan telah menjadi sebahagian daripada budaya baru bangsa Melayu, iaitu bercakap separuh Melayu, separuh Inggeris. Sebagai contoh, penggunaan ‘I’ dan ‘you’ dalam bahasa harian semakin menular hebat. Perkara sebegini adalah sukar untuk dibendung kerana bukan sahaja orang-orang biasa yang menggunakannya, malah turut digunakan oleh orang-orang politik dan kesenian. Sungguhpun perkara itu secara pandangan kasarnya adalah tidak salah, tetapi anak akan kecil akan mengikut, murid juga akan mengikut sehinggalah akhirnya bahasa Melayu yang sempurna sudah tidak ada, yang ada hanyalah bahasa rojak, iaitu bahasa campuran. Jika hilang bahasa, maka lenyaplah bangsa. 


 

Maksud kata : Sekiranya sesuatu bahasa itu tidak digunakan lagi, lambat laun bangsanya akan turut lenyap. 




17 Januari, 2011

Yang baik jadikan teladan yang buruk jadikan sempadan


Penggunaan bahasa yang ringkas dan mudah bukan sahaja baru bermula pada masa sekarang, tetapi telah bertahun dahulu ia digunakan dan semakin meluas pada hari ini. Kawan-kawan tidak percaya? Ikuti kisah di bawah ini:



Situasi:
Hari ini aku ada buka blog-blog orang, saja-saja gatal mata nak buat contoh untuk blog baru aku ini. Mana tahu jika ada yang elok, boleh dijadikan teladan dan yang buruk pula dijadikan sempadan. Sedang aku melihat-lihat blog tersebut, aku telah terjumpa satu blog yang agak menarik (nama dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu). Kisah-kisah yang diceritakan mencuit hati dan lebih dekat dengan pengalaman hidup kita sehari-hari.  Namun, penggunaan bahasa yang digunakan begitu selamba dan ringkas. Ejaan juga disingkatkan. Bagi sesiapa yang tidak pernah menggunakan singkatan ejaan, pasti sukar untuk memahami perkataan itu. Perkataan ‘tidak’ disingkatkan menjadi ‘x’ dan perkataan ‘engkau’ dieja ‘ko’. Bagi kata ganda pula, tanda sempang (-) telah dihilangkan dan diringkaskan seperti ‘cikgu-cikgu’ menjadi ‘cikgu2’ dan banyak lagilah.

 Sekadar contoh



Ulasan saya:
Sebenarnya, ledakan teknologi telah menyebabkan bahasa turut masuk dalam arus perkembangannya memandangkan bahasa merupakan suatu bentuk komunikasi yang digunakan seharian. Secara tidak langsung, penggunaan teknologi telah mempengaruhi penggunaan bahasa ringkas untuk berhubung antara satu sama lain, contohnya seperti berkomunikasi secara talian terus dalam ruang sembang siber (Facebook, Yahoo! Messenger, Blog dll.). Perkara semacam ini sememangnya sering dilakukan oleh kebanyakan orang Melayu, termasuklah diri penulis ini sendiri, lebih-lebih lagi semasa menghantar sistem pesanan ringkas. Hal ini ekerana ramai akan mengatakan apa perlunya menggunakan bahasa yang lebih tersusun jika bahasa ringkas lebih mudah dan kerap digunakan dalam kehidupan seharian?. Kawan-kawan perlu ketahui bahawa penggunaan bahasa ringkas dan rojak secara berleluasa tanpa sekatan akan mengakibatkan individu itu malas untuk mempelajari bahasa Melayu yang sebenar secara menyeluruh, iaitu memiliki tatabahasa dan frasa yang lebih tersusun. Perlu juga diingati oleh kita semua bahawa penggunaan bahasa ringkas akan membawa implikasi besar dalam kehidupan kita kerana perkara itu membabitkan komunikasi harian serta membabitkan jati diri setiap bangsa yang diwakilinya. Seterusnya, jika keadaan ini berterusan, masyarakat akan membenarkan bahasa terutama bahasa Melayu menjadi rosak memandangkan keindahan ayat yang terkandung di dalamnya akan terhakis sedikit demi sedikit. Jika hendak difikirkan, siapa lagi yang perlu memartabatkan bahasa Melayu kalau bukan orang Melayu itu sendiri. Jika dahulu, penggunaan ringkasan bahasa dalam khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) masih boleh dimaafkan kerana disebabkan oleh had teks yang ditawarkan dalam telefon bimbit menjadi penghalang. Namun kini, apa pula alasannya jika kita menggunakan bahasa ringkas untuk bersembang di ruang siber kerana jumlah teks tidak dihadkan? Justeru, semua pihak perlu memberikan kerjasama yang padu dalam mempertahankan keindahan bahasa ibunda sendiri terutamanya dalam zaman teknologi kini kerana bahasa adalah nadi dan cerminan bangsa.


Maksud kata : Perkara yang baik dijadikan panduan manakala perkara yang buruk dijadikan sebagai garis pemisah dalam melakukan sesuatu pekerjaan.





14 Januari, 2011

Saya budak baru belajar


Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.

Blog ini dibuat hanyalah sekadar untuk berkongsi sebahagian kisah dalam kehidupan seharian mengenai citra bahasa. Mohon ampun andainya lakaran citra bahasa ini ada menyentuh sensitiviti para pembaca. Segala komen dan rangsangan daripada anda amat saya hargai. Terima kasih daun keladi kerana sudi membaca lakaran ini. 


Mesej : Yang kurik itu kendi,
               yang merah itu saga;
               yang baik itu budi,
               yang indah itu bahasa.